BLOG FOLLOWERS

Tuesday, April 2, 2013

Petua Mujarab Dalam Al-Qur'an - Fuyoo Media



Petua 1: Keseluruhan al-Qur’an adalah petua yang mujarab kerana keseluruhan al-Qur’an datang daripada Allah s.w.t. Oleh itu tidak perlu dicari-cari ayat tertentu untuk tujuan tertentu. Lebih penting, tidak boleh mengkhususkan sebahagian ayat di atas sebahagian yang lain. Melakukan sedemikian bererti di dalam al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah, ada di antaranya ayat yang bermanfaat dan yang tidak bermanfaat.

Di kalangan semua manusia, hanya seorang yang berhak melakukan sedemikian, iaitu Rasulullah s.a.w.. Hanya baginda yang berhak mengkhususkan beberapa ayat tertentu untuk tujuan tertentu, seperti Ayat al-Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah) untuk pemeliharaan daripada gangguan syaitan. Ini kerana pengkhususan yang dilakukan oleh baginda tidak lain bersumber dari wahyu Allah jua.

Petua 2: Kemujaraban al-Qur’an terletak pada ajarannya. Kemujaraban atau kekuasaan al-Qur’an tidak terletak pada ayat-ayatnya tetapi pada ajarannya yang dipraktikkan oleh seseorang. Sekadar membaca, meniup dan menggantungkan ayat tidak akan membawa manfaat jika ajaran ayat itu sendiri tidak dipraktikkan. Sebagai contoh, ramai yang menjadikan ayat 31 surah ‘Ali Imran sebagai petua menambat kasih sayang di antara suami isteri. Ayat yang dimaksudkan adalah: Katakanlah: “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Pengajaran sebenar ayat di atas adalah, jika kita mengasihi Allah hendaklah kita menterjemahkannya kepada mengikuti sunnah Rasulullah. Ini kerana perkataan “daku” merujuk kepada Rasulullah. Oleh itu jika hendak menjaga kasih sayang di antara suami isteri, hendaklah dicontohi sunnah Rasulullah dalam kehidupan berumahtangga. Tidak ada manfaat jika pasangan suami isteri saling tiup meniup ayat di atas, padahal masing-masing tidak melaksanakan kewajipan terhadap pasangannya dalam kehidupan berumahtangga.

Petua 3: Jangan melakukan apa yang bertentangan dengan Al-Qur’an. Tidak ada manfaat jika seseorang menjadikan al-Qur’an sebagai petua jika diri sendiri menyalahi petua tersebut. Sebagai contoh, tidak ada manfaat saling tiup meniup ayat 31 surah ‘Ali Imran jika kedua-dua suami isteri saling berlaku curang terhadap pasangan masing-masing. Tidak ada keuntungan menggantung Ayat Seribu Dinar (ayat 2-3 surah al-Talaq) dalam kedai untuk melariskan jualan jika tuan kedai itu sendiri tidak bertaqwa kepada Allah dalam urusan jual-belinya. Oleh itu hendaklah bertindak selari dengan ajaran al-Qur’an. Bukan sekadar beberapa ayat tertentu tetapi kepada keseluruhan al-Qur’an sekadar yang mampu.

Sesungguhnya, umat Islam yang mencapai kegemilangan dalam sejarah Islam tidak pernah memiliki petua-petua tertentu dari sekian-sekian tokoh dan agamawan. Sebaliknya mereka menjadikan keseluruhan al-Qur’an sebagai petua dengan cara mempraktikkan ajarannya serta menjauhi apa yang bertentangan dengan ajaran tersebut. 

Tidak pernah tercatit dalam kitab-kitab sejarah Islam bahawa apabila umat Islam menghadapi musuh, mereka meniup-niup ke arah musuh itu. Sebaliknya mereka mengangkat pedang dan segera menghadapi musuh. Apabila umat Islam menjadi peniaga, mereka tidak memaparkan Ayat Seribu Dinar di kedai mereka. Sebaliknya mereka memaparkan akhlak yang jujur lagi mulia dalam berinteraksi dengan pengunjung kedai. Apabila umat Islam menghadapi sesuatu cabaran, mereka tidak mencari petua untuk melepasinya. Sebaliknya mereka mencari ilmu yang dapat mengatasi cabaran itu.

Jom Like Page Fuyoo Media : http://www.facebook.com/fuyoomedia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts