BLOG FOLLOWERS

Monday, April 15, 2013

Siti Nurhaliza jemput Zizan berduet


SETELAH berehat selama tiga bulan untuk menjaga suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di New Zealand pada 13 Disember lalu, kini penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin kembali aktif membuat persembahan.


Terbaharu, pelantun lagu Galau itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha pada 11 April lalu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Jika ada beberapa artis yang mengadakan persembahan untuk Minggu Setiausaha pada tahun ini kurang mendapat sambutan, Siti sebaliknya berjaya menarik perhatian peminat yang rata-ratanya terdiri daripada bos dan setiausaha untuk hadir menyaksikan persembahannya pada petang itu.

Menampilkan tema Memori Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza, tetamu yang hadir memenuhi segenap ruang dewan hotel yang mampu memuatkan 80 buah meja itu.

“Alhamdulillah, ia adalah berkat rezeki dan kepercayaan peminat terhadap nyanyian dan persembahan Siti,” ungkapnya kepada media usai mengadakan persembahan.

Mengulas lanjut, ujar Siti, mungkin ada yang beranggapan jika seseorang artis jarang muncul menerusi media, popularitinya akan menurun.

Begitupun, kata Siti, jika artis tersebut sentiasa membuat yang terbaik dalam persembahannya, pasti figura tersebut sentiasa dinanti-nantikan peminat.

Menyampaikan sebanyak 10 buah lagu termasuklah lagu popularnya sendiri seperti Pendirianku, Galau, Usah Diragui, Diari Hatiku dan Muara Hati.

Selain itu, Siti juga menyanyikan lagu-lagu popular lain seperti Kenangan Terindah, Pak Ketipak Ketipung dan lagu Inggeris, Love On Top.

Siti turut menggamatkan suasana apabila menjemput bos-bos menari bersamanya.

Majlis pada hari itu juga diserikan dengan kehadiran pelawak Zizan Razak sebagai pengacara majlis dan buat julung kalinya juga, Siti menjemput Zizan untuk berduet bersamanya lagu Sedang Ingin Bercinta dendangan kumpulan Dewa.

Selesa jaga suami

Mula kembali aktif dalam bidang seni bermula bulan April ini, ulas Siti, bagaimanapun dia masih perlu mengehadkan aktivitinya memandangkan keadaan suaminya, Datuk K masih belum pulih sepenuhnya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di New Zealand sebelum ini.

Tidak berasa terbeban, dedah Siti, dia selesa menjaga sendiri suaminya tanpa bantuan orang lain.

“Semasa berada di New Zealand, memang ada terfikir untuk mengupah seorang jururawat menjaga dia (Datuk Khalid). Tetapi, apabila saya sudah menjaga dia selama dua minggu, saya rasa mampu menjaganya sendiri tanpa bantuan orang lain. Dia juga mesti lebih selesa jika isterinya yang melakukannya berbanding orang lain,” ujarnya.

Akui Siti, dia juga berasa bersyukur kerana pengorbanannya itu menjadikan hubungannya bersama suami dan anak-anak semakin erat.

Zizan tidak sangka

Sementara itu, menurut Zizan, dia tidak menyangka dapat berduet bersama Siti dan menganggap ia seperti bulan jatuh ke riba.

“Saya tidak sangka dapat bergandingan dengan Siti kerana memang saya meminatinya sejak kecil lagi,” ujar Zizan yang menganggap Siti seorang penyanyi yang high class, bijak dan sangat berbakat.

Mengulas lanjut, kata Zizan, Siti yang menjemputnya untuk berduet bersama untuk lagu Sedang Ingin Bercinta pada majlis Minggu Setiausaha itu.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, ulas Zizan, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadzil, selain empat buah filem lakonannya iaitu KL Gangster 2, Tokan, KL Zombie dan Bikers Kental bakal ditayangkan di pawagam pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts