BLOG FOLLOWERS

Tuesday, April 9, 2013

Fenomena tiga dekad Search - Amy, rakan terharu diumum penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 2012


Amy, rakan terharu diumum penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ABPBH 2012

Jika dilahirkan sebagai bintang, merekalah kejora yang bersinar di angkasa. Andai wujud sebagai permata pula, merekalah nilam yang tiada tolok bandingnya. Begitulah gambaran yang dapat diterjemahkan mengenai kumpulan rock yang mampu bertahan selama lebih tiga dekad di persada seni tanah air, Search.

Sejak mula diasaskan sekitar 1981, kumpulan yang berasal dari Johor Bharu ini terus ampuh dan teguh berdiri sebagai kumpulan rock tersohor walaupun sepanjang tempoh mereka bernafas dalam industri, penggiat muzik rock tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Namun, datanglah kumpulan apapun, perjuangan Search tidak pernah goyah. 
Meskipun pernah berdepan saat getir seperti berlaku perpecahan dan pertukaran anggota kumpulan, namun semua itu ibarat pepatah carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Atas dasar semangat persahabatan, jiwa anak seni yang tebal serta demi peminat tegar yang tidak henti-henti menyokong kerjaya mereka, akhirnya anggota Search bersatu juga. 

Segala suka-duka, pahit-manis dan ranjau berduri yang dilalui cukup mematangkan mereka. Atas kejayaan yang diraih serta berjaya mengekalkan populariti sehingga ke hari ini, kumpulan yang dianggotai oleh Suhaimi Abdul Rahman atau Amy (penyanyi), Yazid Ahmad (Yazit / dram) Hamzah Mohd Taib (Kid / gitar utama), Noordin Taib (din / gitar) dan Nasir Daud (nasir / bes) layak untuk diberikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012.

Rock mampu melangkah jauh

Majlis penyerahan anugerah itu berlangsung pada acara kemuncak ABPBH 2012, malam tadi, di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Amy tidak dapat bersama-sama menerima trofi penuh bermakna itu kerana terbabit dengan komitmen bersama keluarga di luar negara. Begitupun, vokalis hebat ini sempat ditemubual lebih awal dan berpeluang berkongsi kegembiraan apabila muzik rock diberi pengiktirafan sebegitu tinggi. 
Menurut Amy, jika selama ini orang ramai mengaitkan muzik rock dengan perkara negatif, tetapi pengiktirafan itu membuktikan sebaliknya.

“Sebagai mereka yang memperjuangkan genre muzik rock ini, saya amat terharu kerana inilah julung kalinya genre muzik ini dan juga kumpulan Search diberi penghormatan sebegini selepas lebih tiga dekad dalam bidang ini. Sepanjang tempoh itu, diakui bukan mudah untuk meyakinkan pelbagai pihak bahawa muzik rock mampu pergi jauh.

“Banyak halangan dan cabaran yang terpaksa kami lalui. Malah, imej kami juga pernah dipertikaikan dan dianggap memberi impak negatif kepada masyarakat. Namun kesabaran serta usaha kami untuk menepis dakwaan itu akhirnya berbaloi apabila ramai yang mula menaruh kepercayaan terhadap kami dan juga muzik rock, khususnya,” jelas Amy ketika ditemui di kediamannya, di Kota Damansara, baru-baru ini.

Rahsia bertahan lama

Lebih manis, Search juga ialah pemenang pertama kategori Penyanyi Berkumpulan Popular ketika ABPBH diadakan buat kali pertama, sekali gus mengetepikan saingan seperti Alleycats, Freedom, Gersang dan Sons Of Adam. 

Tidak dicalonkan pada edisi 1988, kumpulan yang terkenal dengan lagu Fantasia Bulan Madu ini kembali mengungguli kategori terbabit pada 1989.

Pemilihan kumpulan Search sebagai penerima anugerah tertinggi dalam hiraki ABPBH ini memang tepat dan kena pada masanya. Bayangkan, walaupun sebahagian daripada mereka sudah pun menjengah separuh abad, namun keupayaan masing-masing mengekalkan populariti itulah yang menjadikan mereka berbeza daripada kumpulan rock lain.

Apakah rahsia mereka untuk terus berada dalam ingatan peminat, ketika kumpulan rock seangkatan kian tenggelam?

“Bagi saya, apa yang penting untuk Search adalah menghasilkan lagu yang berkualiti serta disukai peminat. Itulah rahsia kami untuk terus kekal lama. Saya bersyukur kerana setiap kali kami membuat persembahan, masih ada orang yang datang menonton walaupun berbayar.

“Itulah kuasa lagu yang berkualiti dan disebabkan kualiti itu juga ia terus diminati sehingga ke hari ini,” terang Amy.

Jangan mudah berputus asa

Apa yang dikatakan Amy bukanlah sekadar omong kosong kerana Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang diadakan di tiga lokasi terpilih tahun lalu, iaitu di Pulau Pinang, Johor Bharu dan Kuala Lumpur, berjaya mengumpulkan lebih 30 ribu penonton sekali gus mencatat sejarah buat band legenda ini.

Sebagai otai dalam genre muzik sebegini dan mungkin akan mengundurkan diri satu hari nanti, Amy berkata, dia teringin melihat kemunculan kumpulan muzik rock baru yang bakal menjadi pelapis kepada band sedia ada.

“Tapi mereka harus ingat, tiada jalan mudah untuk berjaya. Apapun halangan yang menanti di depan mata, harus ditempuhi dan jangan cepat putus asa. Apa yang penting, lagu yang dihasilkan itu janganlah seperti melepaskan batuk di tangga. Kena mengikut cita rasa terkini dan ada nilai komersial,” pesannya.

Pada penghujung perbualan, Amy turut ditanya bagaimana mereka mahu dikenang, selepas ketiadaan Search nanti. Selepas berfikir sejenak, Amy berkata, dia berbesar hati sekiranya generasi hari ini melihat dan mempelajari khazanah serta impak yang ditinggalkan Search terhadap perkembangan muzik rock tanah air. SUMBER -- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts