BLOG FOLLOWERS

Tuesday, May 28, 2013

Rita Rudaini perkenalkan 'Datuk S'

BERKESEMPATAN bertemu dengan pelakon Rita Rudaini pada sambutan ulang tahun pertama Astro Mustika HD, Sabtu lalu, kelihatan wajah pelakon itu nampak lebih cantik.


Rita berkata, perubahan yang berlaku pada wajahnya itu sebenarnya merupakan hasil pengambilan produk kecantikan yang dikeluarkannya sendiri iaitu RS Collagen.

Menariknya, sebelum ini pernah timbul dakwaan mengatakan pelakon yang popular menerusi drama Sehangat Asmara itu telah ditaja oleh seseorang yang dikenali sebagai Datuk S bagi mengeluarkan produk berkenaan.

Pada majlis itu juga, pelakon yang masih lagi berhadapan dengan kes mahkamah melibatkan isu rumah tangganya dengan suaminya, pemain bola sepak Aidil Zafuan Abd. Radzak itu, turut ditemani serta memperkenalkan ‘Datuk S’ kepada media.

Kosmo!: Khabarnya Rita sekarang sudah terbabit dalam bidang perniagaan, boleh ceritakan tentang produk yang dijual?

RITA: Beberapa bulan yang lalu, saya telah memulakan perniagaan produk kecantikan dan penjagaan kulit dengan menggunakan nama RS Collagen dan menjalankan kerjasama dengan rakan baik saya iaitu Saleha.

Adakah benar dakwaan yang mengatakan Rita telah ditaja oleh 'Datuk S'?

Sebenarnya dakwaan itu memang tidak benar kerana 'Datuk S' yang dimaksudkan ialah rakan baik saya sendiri yang turut menemani saya pada majlis ini.

Apabila menjalankan perkongsian untuk mengeluarkan dan menjual produk ini kami menggunakan nama RS Collagen yang merupakan gabungan nama kami iaitu Rita dan Saleha. Buat masa ini, kami menjualnya menerusi dalam talian dengan menggunakan Facebook dan Instagram.

Pada pandangan Rita, apakah yang menyebabkan dakwaan tentang ditaja 'Datuk S' ini timbul?

Saya beranggapan bahawa semuanya berpunca daripada status saya sekarang ini sehingga timbul pelbagai cerita yang kurang baik, termasuk dakwaan ditaja oleh seorang lelaki berpangkat Datuk.

Jadi, saya berasakan biarlah apa yang orang hendak cakap kerana lebih baik saya tumpu kepada kerjaya lakonan serta perniagaan yang sedang berkembang memandangkan produk RS Collagen ini semakin mendapat sambutan ramai.

Bercerita tentang peribadi pula, adakah Rita tidak tertekan apabila kes bersama suami masih lagi belum selesai?

Secara jujurnya saya sudah lali dengan apa yang berlaku dan tidak kisah kalau ia berlarutan sehingga 10 tahun. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengalah kerana ingin membuktikan saya berada di pihak yang benar.

Lagipun, masalah rumah tangga saya ini langsung tidak menjejaskan karier lakonan memandangkan semakin banyak tawaran yang diterima dan kini rezeki saya semakin bertambah dengan perniagaan yang dijalankan ini.

Kalau asyik fikirkan masalah rumah tangga sepanjang masa sehingga membuatkan diri sendiri tertekan pun tidak guna kerana saya juga memiliki tanggungjawab yang lebih besar iaitu membesarkan kedua-dua anak saya.

Apakah aktiviti lakonan terbaharu Rita sekarang?

Selepas membintangi drama bersiri Sehangat Asmara saya lebih kerap menerima tawaran berlakon telemovie. Pada bulan hadapan saya akan berlakon dalam sebuah drama berjudul Safa Ke Marwah yang diarahkan oleh Rashid Sibir.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts